Game ini memerlukan telefon awam. Jika tidak jumpa telefon awam dalam pondok seperti rajah ini, telefon awam biasa yang menggunakan syiling sahaja mungkin boleh. Sumber gambar |
Permainan hantu ini berasal daripada negara matahari terbit iaitu Jepun. Menurut legenda urban, Satoru-kun adalah roh atau hantu atau syaitan Jepun yang berupa seperti seorang kanak-kanak. Dikatakan dia mengetahui segalanya tentang masa silam, masa kini, serta masa hadapan dan boleh menjawab apa sahaja soalan yang ditanyakan kepadanya yang mana juga adalah tujuan permainan ini. Untuk bermain game dan menyeru makhluk ini, pemain memerlukan telefon bimbit.
Cara Bermain Permainan Satoru-Kun.
Seperti yang dinyatakan di atas tadi, pemain memerlukan sebuah telefon bimbit, beberapa keping wang syiling serta pondok telefon awam yang beroperasi menggunakan wang syiling.
Arahan untuk bermain game ini.
1. Pertama sekali, pemain mesti memasukkan beberapa keping wang syiling yang cukup ke dalam telefon awam. Kemudian pemain hendaklah hubungi nombor telefon bimbit milik pemain sendiri.
2. Pemain harus menyeru hantu Satoru-kun menggunakan ayat seruan berikut beberapa kali:
"Satoru-kun, Satoru-kun, tolonglah datang ke sini. Satoru, Satoru, tunjukkanlah dirimu. Satoru, Satoru, tolonglah menjawab jika kamu/awak berada di sana".
Sebaiknya, jika boleh dan pandai, pemain sangat digalakkan menggunakan bahasa Jepun memandangkan hantu ini adalah hantu Jepun.
3. Setelah itu, letakkan telefon atau tamatkan panggilan telefon awam yang digunakan tadi. Pemain juga harus mematikan telefon bimbit.
Jika arahan game ini dapat dilakukan dengan baik dan betul, pemain mungkin akan menerima panggilan daripada hantu Satoru-kun itu sendiri dalam tempoh 24 jam.
Apabila hantu itu menghubungi pemain buat pertama kali, hantu itu akan memberitahu kedudukannya atau di mana ia sedang berada (ada kemungkinan yang ia akan bercakap dalam bahasa Jepun atau mungkin tidak). Kemudian, hantu Satoru-kun akan menamatkan panggilan. Diingatkan kepada pemain, bahawa hantu ini akan menghubungi pemain beberapa kali dan setiap kali ia menghubungi pemain, ia akan berada semakin hampir kepada pemain.
Jika sudah tiba panggilan terakhir daripada hantu ini, ia akan memberitahu pemain, yang ia sudah berada di belakang pemain atau mengatakan, "saya sudah berada di belakang kamu".
Jika ini berlaku, tibalah masanya untuk pemain mengemukakan soalan kepada makhluk alam ghaib ini.
Tidak dinyatakan cara untuk menghentikan permainan ini.
Peringatan kepada pemain:
1. Jangan sesekali menoleh ke belakang jika hantu Satoru-kun sudah di belakang.
2. Jangan cuba melihat hantu itu.
3. Jangan sesekali menyentuh hantu tersebut.
4. Jangan hubungi hantu Satoru-kun, atau jangan main game hantu ini jika tidak ada soalan untuk ditanya.
5. Jika hantu Satoru-kun sudah berada di belakang, jangan lengahkan masa. Segeralah bertanyalah soalan kepadanya.
Dikatakan jika pemain melakukan perkara-perkara di atas, pemain akan mati dan hantu Satoru-kun akan mengheret pemain ke alam ghaib atau neraka. Jadi, sebelum bermain permainan hantu ini, pemain dinasihatkan untuk tentukan dahulu satu soalan untuk ditanyakan kepada hantu Satoru-kun.
Untuk pengetahuan, ada yang mengatakan Satoru-kun juga akan mengenakan sejenis bayaran untuk setiap soalan yang ditanya. Apakah bayaran itu akan ditentukan oleh makhluk itu sendiri. Juga disarankan kepada pemain untuk menghapuskan telefon bimbit serta kad sim yang digunakan selepas game ini tamat.
Selain artikel ini, ada juga permainan atau game di mana pemain akan bertanya soalan kepada hantu atau makhluk dari alam ghaib. Artikel itu adalah mengenai Permainan The Answer Man. Seperti hantu Satoru-kun, hantu The Answer Man juga tidak membenarkan pemain bertanya soalan begitu sahaja. Jika pemain bertanya satu soalan kepada hantu itu, hantu tersebut juga akan bertanya satu soalan kepada pemain. Persamaan kedua-dua permainan ini ialah melibatkan telefon bimbit. Antara perbezaan ketara antara kedua game ini ialah, Satoru-kun boleh dimain seorang diri manakala The Answer Man memerlukan sepuluh orang pemain namun hanya seorang sahaja yang akan berkomunikasi dengan hantu itu.
Walaupun Satoru-kun dipercayai mengetahui apa sahaja berkaitan masa silam, masa sekarang dan masa hadapan, pemain sangat dinasihatkan untuk tidak mempercayai 100% kepada jawapan yang akan diberikan kepada pemain olehnya. Sebaiknya soalan yang hendak ditanya, janganlah soalan yang pemain sendiri tidak mahu mengetahui jawapannya. Misalnya, "bilakah saya akan mati", "bagaimanakah saya akan mati?" dan lain-lain hal yang berkaitan.
Permainan atau game hantu ini juga dipercayai boleh mengundang kematian (itu pun jika berjaya). Anggaplah penulisan artikel ini hanya perkongsian maklumat sahaja. Jangan sesekali mencubanya tetapi jika pembaca tetap mencubanya juga, blog ini tidak akan bertanggungjawab kepada masalah yang mungkin akan terjadi kepada mereka yang berjaya bermain game hantu ini.
Penghargaan kepada: scaryforkids.com, whisperingdark.wordpress.com