Saturday 23 September 2017

Permainan Hantu Lady Spades

Hasil karya Katheairene di Deviantart. Sumber gamber
Lady Spades adalah permainan menyeru hantu yang mana berkongsi persamaan dengan ritual Bloody Mary Game. Namun, tidak seperti hantu Bloody Mary, di dalam permainan ini, seseorang pemain boleh meminta untuk hajat mereka ditunaikan. Sudah tentu, ia tidak ditunaikan begitu sahaja. Setiap hajat, pasti ada harganya...

Cara Bermain Permainan Lady Spades.
Permainan ini memerlukan seorang pemain. Untuk memulakan game ini, pemain mestilah menyediakan sebatang lilin dan mancis. Selain itu, pemain harus mempunyai gincu. Sebaiknya, biarlah gincu itu berwarna merah walaupun warna lain masih boleh. Jika anda seorang lelaki, usah risau. Gincu itu bukan untuk bibir.

Untuk tempat, carilah bilik yang gelap dan sunyi. Di dalam bilik itu mesti ada sebuah cermin. Akhir sekali, objek penting dalam game ini adalah sekeping daun terup, iaitu Ratu Spades.

Objek tambahan yang mungkin tidak penting, adalah sarung tangan untuk dipakai dan objek keras seperti batu lesung. Ada sebabnya.

Cara Menyeru Hantu di Dalam Permainan Ini.
1. Mulakan pada waktu tengah malam. Pakai sarung tangan itu jika mahu. Jika tidak, tidak mengapa.

2. Masuk ke bilik itu yang sunyi dan gelap tersebut. Pastikan semua lampu sudah dimatikan.

3. Letakkan sebatang lilin di hadapan cermin dan nyalakan menggunakan mancis.

4. Menggunakan gincu, tulis "Lady Spades" di cermin itu. Kemudian, pegang daun terup Ratu Spades dengan wajah ratu itu menghadap cermin.

5. Tutup mata dan kosongkan minda. Bertenanglah sebaik yang mungkin lalu ulangi kata-kata berikut, "Lady Spades, appear" sebanyak tujuh kali dengan suara yang sedikit kuat.

6. Teruskan menutup mata dan bayangkan imej Ratu Spades di minda. Bayangkan Ratu itu berpakaian hitam. Matanya juga berwarna hitam tetapi wajahnya berparut. Jangan panik jika terdengar tawa seorang wanita atau bunyi tapak kaki berhampiran. Bunyi-bunyi ini adalah tanda bahawa hantu itu berjaya diseru.

7. Buka mata.

Membuat Permintaan.

1. Jangan sesekali meneruskan permainan jika setelah mata dibuka, hal-hal yang berikut terjadi:

- Lilin terpadam.
- Daun terup Ratu itu menghadap anda.
- Daun terup itu hilang.
- Anda melihat hantu seorang wanita dengan tangannya menekan cermin.

2. Tamatkan permainan jika hal-hal di atas terjadi. Cara menamatkan game dinyatakan nanti. Tetapi jika anda dapati ada hantu seorang wanita dengan tangannya di sisi, teruskan permainan.

3. Minta apa sahaja hajat kepadanya. Ingat, setiap hajat, ada bayarannya.

4. Jangan sesekali melepaskan pandangan dari matanya. Jika terjadi, tamatkan permainan segera.

5. Dia akan senyum dan mengatakan 'yes' atau 'ya'. Dikatakan dia mungkin akan meminta anda melakukan sesuatu untuk membuktikan anda layak. Tidak tahu apa yang ia akan minta tetapi ingat, ini bukan seperti di mana anda menyeru hantu dan memberinya makan lalu meminta hajat. Dia mungkin adalah Ratu. Buktikan yang anda layak.

Cara Menamatkan Game.
1. Jika sudah selesai, inilah cara untuk menamatkan game hantu ini. Katakan, "Lady Spades, disappear". Lalu padam namanya di cermin, tiup lilin dan pasang lampu. Segera bakar daun terup Ratu Spades yang digunakan tadi sehingga benar-benar menjadi abu. Hajat anda akan tercapai.

2. Jika ritual atau game ini terbatal, ikut arahan berikut untuk situasi tertentu.

- Jika anda membuka mata dan mendapati lilin terpadam, hidupkan semula lilin sepantas yang mungkin, katakan "Lady Spades, disappear", padam namanya di cermin, lalu tiup lagi lilin dan segera untuk memasang lampu. Jangan buang masa dan segera bakar daun terup Ratu Spades sehingga menjadi abu.

- Jika anda membuka mata dan mendapati daun terup Ratu Spades menghadap anda dan bukan cermin, cepat-cepat koyakkan daun terup itu, katakan "Lady Spades, disappear", padam namanya di cermin, tiup lilin dan pasang lampu. Segera bakar daun terup itu sehingga benar-benar menjadi abu.

- Jika anda membuka mata dan mendapati daun terup itu hilang, pecahkan cermin itu. Itulah sebab mengapa anda disarankan memakai sarung tangan dan menyediakan objek keras. Kerana ia adalah persediaan untuk perkara seperti ini. Kemudian, hidupkan lampu dan berusaha untuk mencari semula daun terup itu. Jika jumpa, bakar sehingga menjadi abu. Jika gagal, biarkan, dan tinggalkan tempat itu.

- Jika anda membuka mata dan mendapati hantu wanita itu ada tetapi tangannya menenkan cermin, pecahkan cermin itu. Tinggalkan tempat itu dan bakar daun terup tersebut sehingga abu. Tinggalkan tempat itu

- Jika gagal untuk terus menatap matanya, pecahkan cermin, tinggalkan tempat itu dan bakar daun terup tersebut sehingga abu.

- Jika dia enggan untuk menunaikan hajat, pecahkan cermin. Tiup lilin dan bakar daun terup itu sehingga abu.

3. Jangan sesekali ulangi permainan ini. Atau lebih baik, jangan mulakan game hantu ini. Jika ada hajat, tunaikan sendiri dengan berusaha.

Jika anda membuka mata dan mendapati semua normal dan tiada apa yang terjadi seperti cermin itu kosong, atau suara ketawa atau bunyi tapak kaki hilang, permainan ini gagal. Ulang "Lady Spades, disappear" beberapa kali, lap cermin hingga bersih, tiup lilin, hidupkan lampu dan segera bakar daun terup itu sehingga menjadi benar-benar abu. Jangan lupa untuk tutup cermin itu dengan kain sebelum malam sehingga siang. Atau hapuskan sahaja.

Jangan cuba untuk menamatkan permainan di antara meminta hajat dan respon hantu itu. Dia tidak suka. Juga dikatakan walaupun game sudah tamat, tidak semestinya hantu ini pergi. Ada yang mengatakan dia akan muncul atau menganggu pemain. Sebab itulah tidak digalakkan untuk bermain game ini. Anggap sahaja sebagai bahan bacaan.

Dalam beberapa kepercayaan agama, tidak kiralah Kristian, atau Islam, atau Buddha, atau Hindu, meminta pertolongan daripada hantu atau jin atau syaitan adalah dilarang sama sekali kerana memudaratkan. Jangan lakukan permainan ini jika ada keinginan untuk ditunaikan. Hanya kerana alam kita berbeza dengan makhluk itu, tidak semestinya mereka boleh menunaikan hajat kita. Logik kah jika tempat tinggal menjadikan seseorang itu berkuasa?

Jika ada hajat, jangan minta daripada sesiapa melainkan daripada diri sendiri. Bukan berdoa kepada diri tetapi berusaha menggunakan tenaga dan usaha sendiri.

Penghargaan kepada: jazzyfingers di reddit/r/thethreekings, theghostinmymachine.wordpress.com, ViciousKrimson di Reddit, whisperingdark.wordpress.com