Sunday 10 September 2017

Permainan Menyeru Hantu Bloody Mary

game hantu bloody mary
cermin adalah keperluan utama dalam permainan ini. sumber gambar
Bloody Mary game adalah sejenis permainan yang mencabar keberanian di mana seseorang pemain akan menyeru hantu yang bernama Bloody Mary. Game hantu ini sebenarnya agak merbahaya menurut beberapa pihak di mana ia boleh menyebabkan histeria atau kecederaan yang didakwa daripada hantu Bloody Mary.

Siapakah Bloody Mary?

Terdapat banyak kisah atau cerita mengenai asal-usul hantu Bloody Mary. Ada yang mengatakan Mary adalah seoraang remaja perempuan yang mati dibunuh di dalam bilik air. Ada juga yang mengatakan Bloody Mary adalah pengamal ilmu hitam yang mati. Namun yang paling dipercayai ramai ialah seorang ratu yang digelar 'Bloody Mary'.

Ratu Bloody Mary.

Sebelum ratu Elizabeth I memegang takhta England, negara yang pernah mempunyai empayar terbesar di dunia itu dipimpin oleh Mary Tudor (jangan keliru dengan ratu Peranchis yang juga bernama Mary Tudor) yang mana cukup terkenal dengan kezalimannya memimpin England dan Ireland.

Mary Tudor atau Mary I, adalah seorang ratu yang beragama Roman Katolik. Sepanjang lima tahun pemerintahannya, dia telah membakar lebih 280 orang yang dianggap pembelot agama. Disebabkan itu, penganut Protestant menggelar ratu ini dengan nama 'Bloody Mary'.

Sepanjang riwayat ratu zalim ini, dia telah banyak kali kecewa kerana sering kali menyangka dirinya mengandung. Setiap kali dia menyangka dia hamil apabila mendapati perutnya membesar dan putus haid, dia pasti akan menemui kekecewaan apabila perutnya kecil semula seolah-olah bayi tersebut hilang sekelip mata. Akhirnya, Mary I jatuh sakit pada Mei 1558 dan akhirnya mati pada 17 November 1558 di usia 42 tahun. Selepas kematiannya, takhta England dan Ireland dipegang oleh Elizabeth I yang mana memperbaiki semula kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh kakaknya yang mana juga merupakan permulaan Era Elizabeth (Elizabethan Era).

Selain Ratu Bloody Mary.

Selain Mary I yang kononnya dipercayai menjadi hantu game ini, ada juga cerita bahawa kononnya hantu Bloody Mary daripada game ini adalah roh seorang perempuan yang mati dibunuh di bilik mandi. Sebab itulah permainan Bloody Mary biasa dilakukan di dalam bilik mandi kerana dipercayai lebih berkesan. Ada juga mengatakan memasang paip akan membantu untuk menyeru hantu Bloody Mary kerana bunyi paip terpasang adalah bunyi terakhir yang didengari oleh Mary sebelum mati.

Ada juga cerita yang mengatakan Bloody Mary adalah hantu jelmaan seorang pengamal ahli sihir di Amerika Syarikat. Ada juga yang percaya Mary adalah seorang remaja perempuan yang mati dibunuh oleh bekas lelakinya kerana enggan bertanggungjawab ke atas Mary yang ketika itu sedang mengandung.

Cara Bermain Bloody Mary Game.

Untuk bermain Bloody Mary Game, pemain hendaklah melakukan ini seorang diri di dalam sebuah bilik yang gelap yang hanya bercahayakan api lilin. Lilin tersebut hendaklah diletakkan di hadapan sebuah cermin. Kemudian, pemain hendaklah merenung cermin tersebut kemudian menyeru hantu tersebut dengan menyebut namanya, 'Bloody Mary' sebanyak tiga kali.

Terdapat beberapa cara untuk menyeru hantu Bloody Mary dalam game ini. Pemain juga boleh mendesaknya datang dengan berkata "I killed your baby, Bloody Mary" atau "I stole your baby, Bloody Mary". Pemain hendaklah mengatakannya dalam bahasa Inggeris memandangkan kebanyakan cerita asal-usul hantu Bloody Mary ini datang daripada negara yang berbahasa Inggeris.

Setelah itu, pemain mesti berpusing sebanyak tiga kali. Ada yang mendakwa ketika berpusing, mereka ternampak kelibat hantu tersebut berada berhampiran. Hantu Bloody Mary biasanya tidak datang begitu sahaja. Ia biasanya hanya datang sekejap sahaja namun dipercayai cukup merbahaya dan boleh menyerang pemain. Pemain hendaklah tidak berada terlalu dekat dengan cermin untuk mengelakkan diri daripada diserang hantu tersebut ketika bermain game ini.

Jika hantu Bloody Mary muncul dan tidak hilang dengan cepat, pemain kononnya boleh bertanya apa sahaja soalan kepadanya. Namun, juga dikatakan ia sangat merbahaya dan harus melarikan diri.

Jika sudah selesai, pemain harus meniup lilin dan segera memasang semula lampu. Lampu dipasang atas tujuan untuk menghalau hantu Bloody Mary. Ada juga yang menyarankan agar cermin tersebut dibuang atau dimusnahkan.

Atas langkah berjaga-jaga untuk pemain yang mencuba game hantu ini, pemain hendaklah:

1. Tidak memaksa orang lain untuk mencubanya.

2. Pastikan ada sekurangnya rakan untuk menjaga pemain di luar bilik air.

3. Jika ada masalah, pemain hendaklah segera meminta rakan memasang lampu di bilik air.

4. Sebaiknya jangan mengunci pintu atau tutup pintu bilik air dengan langsir sahaja.

5. Jangan terlalu taksub atau takut dengan game menyeru hantu Bloody Mary ini memandangkan ada penjelasan di sebaliknya.

Penjelasan Secarah Ilmiah Mengenai Game Bloody Mary.
Walaupun kewujudan hantu ini masih misteri, namun jika kita memerhati wajah kita terlalu lama di cermin, ia akan menyebabkan halusinasi yang membuatkan wajah kita kelihatan berbeza. Memandangkan game Bloody Mary ini melibatkan hantu yang menyeramkan dan boleh membuatkan pemain berasa takut, sudah tentu perubahan wajah secara halusinasi tersebut menyebabkan ramai pemain terkejut dan takut dan percaya hantu Bloody Mary memang wujud. Anda boleh merenung wajah anda di cermin dengan lama untuk mengujinya sendiri.

Penghargaan kepada: Wikipedia, Wikihow.