Friday 29 September 2017

Permainan Menyambut Hantu, The Hosting Game

Permainan ini memerlukan bilik kecil yang kosong. Sumber gambar
The Hosting Game adalah permainan atau ritual di mana seseorang pemain akan menjemput makhluk alam ghaib seperti hantu ke rumah. Permainan ini sangat mencabar memandangkan ada arahan yang ada melarang pemain untuk melihat ke belakang. Sebagai manusia, ia adalah naluri untuk mempunyai rasa ingin tahu dan ada kalanya rasa ingin tahu itu boleh mengundang ketakutan.

Tidak ada ganjaran yang boleh diperolehi melalui game hantu ini. Permainan ini nampaknya lebih sesuai kepada mereka yang ingin mencabar diri. Walaubagaimanapun, tujuan artikel ini hanyalah sebagai bahan bacaan sahaja. Pembaca tidak digalakkan untuk benar-benar mencubanya.

Untuk bermain permainan ini, ia memerlukan seorang pemain sahaja.

Cara Bermain The Hosting Game.

Bahan dan Lokasi yang Diperlukan.

1. Sebuah bilik kecil yang gelap dan kosong. Bilik ini sebaiknya bilik yang tidak mempunyai sebarang tingkap tetapi jika tidak ada bilik yang tidak bertingkap, bilik yang sebaliknya juga boleh tetapi tutup tingkap tersebut menggunakan langsir atau kain tebal. Pastikan tidak ada cahaya dari luar memasuki bilik tersebut.

2. Alat menulis seperti pen atau pensil serta kertas.

3. Jam, sama ada jam biasa atau jam tangan tetapi pastikan jam itu jenis analog. Jangan guna jam daripada telefon bimbit atau jam tangan digital atau alat-alat digital yang lain.

4. Tiga batang mancis kayu.

Cara Menyeru Hantu Dalam Permainan Ini.

1. Game ini haruslah dimulakan pada waktu malam. Pastikan jam ada bersama anda sepanjang masa. Begitu juga dengan tiga batang mancis kayu itu.

2. Tutup atau matikan semua sumber bunyi di dalam rumah. Ini termasuklah telefon, televisyen, komputer, penggera dan lain-lain. Lakukan ini dengan teliti. Jika bilik yang dipilih mempunyai tingkap, tutup tingkap itu sepenuhnya menggunakan langsir atau kain tebal. Pastikan tidak ada sebarang cahaya yang boleh dilihat dari dalam bilik itu.

3. Masuklah ke bilik itu dan hidupkan lampu. Jika bilik itu tidak ada lampu siling atau dinding, gunakan lampu suluh. Jika tiada, gunakan lilin tetapi sebaiknya gunakan lampu suluh memandangkan lilin sedikit merbahaya.

4. Letakkan alat tulis dan sekeping kertas di dalam bilik itu.

5. Biarkan lampu dalam bilik itu terus hidup. Pergi ke tempat yang paling jauh dari bilik itu di dalam rumah dan katakan ayat berikut dengan suara yang kuat dan jelas, "saya akan bersedia tidak lama lagi!". Bergeraklah ke setiap bilik di dalam rumah dan ulangi ayat tadi dengan suara yang jelas. Urutan bilik itu, biarlah dari bilik yang paling jauh dengan bilik yang anda pilih tadi hingga ke bilik yang paling dekat dengannya. Bila sudah selesai, kembali ke bilik yang ada kertas dan alat tulis tadi.

6. Bila sudah sampai ke bilik itu, gunakan alat tulis tadi dan tulis di kertas yang sama, "Anda dijemput. Perjumpaan, yang dihoskan oleh [nama anda]. Bermula dari [waktu ketika itu] hingga [sejam selepas waktu itu]. Ajaklah rakan-rakan kamu!".

7. Letakkan kertas itu di tengah-tengah bilik itu.

8. Berdiri di depan pintu sambil menghadap bilik itu dan katakan, "Saya sudah bersedia! Jemput masuk!".

Pertemuan Dengan Hantu Dalam Permainan Ini.

1. Matikan lampu dan pusing. Pintu bilik yang terbuka sepatutnya berada di belakang anda dan anda menghadap kegelapan yang ada di rumah anda. Keluarkan tiga batang mancis kayu tadi.

2. Selepas beberapa saat tanpa bunyi, mulakan mengira dengan suara mulut, bermula dari satu (1) hingga sepuluh (10). Jangan sesekali pandang ke belakang.

3. Apabila sudah sampai kiraan ke-sepuluh, nyalakan mancis kayu yang pertama. Jika ia menyala dengan sekali cubaan, pegang dan katakan "saya sangat gembira untuk berjumpa kamu! Terima kasih kerana datang!". Teruskan memegang mancis kayu itu setahan mana yang anda boleh.

Walaubagaimanapun, jika ia tidak menyala dengan sekali cubaan, jatuhkannya dan teruskan ke langkah seterusnya.

4. Jangan pandang ke belakang. Nyalakan mancis kedua. Jika mancis kedua menyala pada sekali cubaan, pegang dan katakan ayat tadi dan terus memegangnya setahan mana yang boleh. Jika ia tidak menyala dengan sekali cuba, jatuhkan dan teruskan ke permainan dengan ke langkah seterusnya.

5. Jangan pandang ke belakang. Nyalakan mancis ketiga. Jika mancis ketiga menyala dengan sekali cubaan sahaja, katakan, "sekarang semuanya sudah ada di sini!" dan kira lagi dari satu (1) hingga sepuluh (10). Jika game ini dimainkan dengan tepat, pemain boleh mendengar suara bisikan yang berterima kasih dari belakang. Bisikan itu kononnya daripada hantu atau entiti dari alam lain.

Jangan sesekali pandang ke belakang. Bertahan di sana sehinggalah jam analog yang ada pada anda menunjukkan waktu pertemuan tamat (sila rujuk langkah 6 di bahagian 'Cara Menyeru Hantu Dalam Permainan Ini'), katakan dengan jelas dan cukup kuat untuk didengari, "Terima kasih kerana datang. Selamat tinggal".

Berjalanlah ke sumber cahaya yang paling hampir dan hidupkannya. Pertemuan dengan hantu sudah tamat tetamu-tetamu dari alam lain sudah pergi.

Walaubagaimanapun, jika mancis kayu ketiga gagal bernyala dalam sekali cubaan, anda ada tetamu yang tidak diundang. Jangan sesekali pandang belakang. Jangan menoleh ke belakang. Jangan buang masa untuk menutup pintu. Lari selaju yang boleh ke sumber cahaya yang paling dekat seperti suis lampu dan hidupkannya.

Peringatan kepada Pemain:
1. Jangan pandang ke belakang apabila permainan sudah bermula.

2. Permainan ini sebaiknya dilakukan seorang diri tanpa orang lain di rumah. Tetamu hantu mungkin tidak selesa dengan kehadiran orang lain.

3. Walaupun sumber cahaya atau lampu yang paling hampir sudah berjaya dihidupkan, jangan terlalu cepat andaikan hantu itu sudah pergi. Ia sangat digalakkan untuk melakukan apa-apa cara untuk menghalau hantu dari rumah, bergantung dengan kepercayaan agama masing-masing. Elakkan bilik dan ruang yang gelap.

4. Disarankan bilik itu tidak digunakan lagi. Tutup dengan rapat dan kunci. Jangan lupa bakar kertas itu sehingga abu apabila permainan sudah tamat.

Tidak ada ganjaran dalam permainan ini dan hanya bertujuan sebagai bahan bacaan sahaja. Sekali lagi, tiada permainan atau game hantu dalam blog ini yang digalakkan untuk cuba.

Penghargaan kepada: theghostinmymachine.wordpress.com